Hijrah itu pengorbanan,
Hijrah itu perjuangan,
Hijrah itu persaudaraan,
Hijrah membentuk perpaduan…
Begitulah bait-bait lagu yang sering berkumandang apabila tibanya Awal Muharam. Umat Islam mengorak langkah ke tahun 1432H iaitu bersempena peristiwa penghijrahan besar junjungan Rasulullah s.a.w dan umat Islam yang beriman ke Madinah.
Hijrah secara amnya merujuk kepada perpindahan dari satu keadaan ke satu keadaan yang lebih baik. Hijrah dalam konteks sejarah Islam merujuk kepada perpindahan Nabi Muhammad s.a.w. bersama-sama sahabat baginda dari Kota Mekah ke Kota Madinah demi memelihara akidah kepada Allah yang Maha Esa serta kemaslahatan umat Islam yang sedang dipimpin.
Peristiwa penghijrahan ke kota Madinah memberi erti mendalam kepada umat Islam. Terdapat banyak hikmah dan kesan yang dapat dihayati terutama sekali bagi remaja Muslim sebagai pewaris masa depan negara.
Dalam melaksanakan hijrah ke Madinah, Rasulullah dan para sahabat menghadapi pelbagai rintangan dan ancaman khususnya daripada pihak kaum Musyrikin Mekah ketika itu. Namun akhirnya rombongan Muslimin Mekah selamat tiba ke Madinah dengan perancangan yang teratur beserta pertolongan dan izin Allah.
Peristiwa penghijrahan ini juga membawa kepada terbentuknya sebuah negara Islam pertama di dunia. Rasulullah s.a.w telah berjaya memimpin masyarakat Madinah yang terdiri daripada pelbagai suku kaum Arab dan golongan bukan Islam dari kaum Yahudi. Hal ini terjadi hasil kepimpinan Rasulullah yang adil dan bijaksana berpandukan petunjuk wahyu ilahi.
Sebagai remaja pada zaman moden ini, kita pastinya tidak melalui rintangan getir seperti yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat baginda. Namun cabaran yang melanda umat Islam masa kini tetap menuntut kita melakukan muhasabah diri, penghijrahan minda serta peribadi, serta peningkatan iman dan semangat jihad dalam diri.
Setelah setahun berlalu dan ternyata umur kita juga semakin meningkat. Tempoh tersebut mungkin tidak remaja rasakan sebagai satu fasa perubahan yang amat ketara, malah kedapatan remaja yang berasa amat gembira kerana mereka kini mempunyai kebebasan untuk melakukan perkara yang tidak boleh mereka lakukan sebelum ini.
Sesetengah remaja mungkin berasakan bahawa adalah tidak mengapa untuk melakukan perkara yang dilarang oleh agama kerana mereka masih muda, dan kemudian beranggapan bahawa mereka boleh bertaubat kelak apabila masa tua. Tetapi persoalannya adakah kelak remaja sempat untuk bertaubat atau adakah ajal bakal menemui terlebih dahulu?
Allah mengurniakan nikmat usia muda kepada kita beserta dengan kesihatan tubuh badan dan akal yang cerdas. Justeru kita perlu memanfaatkan nikmat usia muda dengan melakukan perkara yang membawa ke arah kebaikan dan amal soleh.
Nasihat daripada Saidina Umar al-Khattab agar kita menjadikan hari ini lebih baik daripada semalam, dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Seandainya kita masih terus berada di takuk yang lama maka kita bakal tergolong dalam kalangan orang yang rugi.
Oleh yang demikian, kita masih berpeluang melakukan hijrah secara peribadi iaitu hijrah hati dan perlakuan dengan berusaha melaksanakan kebaikan dan meninggalkan keburukan serta kemungkaran. Penghijrahan diri remaja bermula daripada proses timbulnya kesedaran untuk berubah dan diikuti dengan keinginan berubah yang begitu kuat lalu membuahkan tindakan yang mencetuskan perubahan yang dimahukan.
Mempertingkatkan keazaman dan usaha
Bertitik tolak daripada tarikh peristiwa hijrah Rasulullah bersama sahabat-sahabat baginda, dakwah Islam menempuh episod baru dan mula mencapai kejayaan yang gemilang.
Umat Islam pada awalnya merupakan golongan yang ditindas dan diseksa oleh kaum musyrikin di Mekah sebelum penghijrahan, tetapi selepas penghijrahan ke kota Madinah, kaum Muslimin mempunyai kedudukan yang kuat dengan terbentuknya sebuah negara Islam yang menjadi asas kekuatan dan perkembangan Islam seterusnya.
Peristiwa hijrah perlu dikenang oleh remaja Islam setiap tahun sebagai peringatan tentang pengorbanan Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya dalam menegakkan Islam. Kejayaan yang diimpikan tidak akan datang dengan mudah, sebaliknya ia perlu melalui perjuangan yang gigih dan pengorbanan masa, tenaga dan jiwa raga.
Pengorbanan di dalam peristiwa penghijrahan ini juga tidak hanya dilihat kepada hijrah fizikal semata-mata, tetapi yang lebih penting ialah keupayaan untuk menegakkan dan memperkemaskan jaringan dan usaha dakwah Islamiah.
Selain itu, kita turut dapat memahami bahawa semangat ukhuwah dan perpaduan antara sesama umat Islam menjadi asas kepada pertolongan kaum Aus dan Khazraj di Madinah yang berusaha membantu kaum Muhajirin dari Mekah dengan apa yang dimiliki.
Oleh yang demikian, setiap remaja Muslim perlu memiliki semangat untuk berubah dan berjaya dalam segenap ruang kehidupan, apatah lagi melihat kepada cabaran globalisasi yang semakin menghimpit dan arus kemodenan yang semakin menghakis nilai-nilai keimanan dan ketakwaan.
Di samping itu, hijrah tidak akan terlaksana sepenuhnya tanpa gandingan iman dan jihad, tidak kira sama ada hijrah pada pengertian sebenar iaitu berpindah tempat ataupun hijrah hati dan jiwa daripada keburukan kepada kebaikan.
Kesimpulan
Kesedaran terhadap kepentingan Tahun Baru Hijrah dalam Islam harus dipupuk di kalangan masyarakat Islam, terutamanya remaja. Dengan kesedaran tentang latar belakang sambutan tahun baru dalam Islam, umat Islam khususnya di negara ini dapat menjadikannya sebagai wadah untuk membina keazaman baru bagi menggiatkan usaha membina peribadi dan pencapaian yang cemerlang.
Justeru, bersempena dengan ketibaan tahun baru 1432 hijrah ini ayuh kita remaja Muslim bersama-sama melakukan hijrah ke arah mempertingkatkan diri demi mencapai keredaan ilahi dan memelihara kesejahteraan agama Islam dan umatnya.
1 comment:
sama2 la kita berhijrah he arah yg lebih baek..
Post a Comment